14 Mac 2008

Tukar

Saya telah bertukar ke blog lain. http://darahmerdeka.wordpress.com

Maaf atas kesulitan yang berlaku.

28 Januari 2008

Hari Terakhir Seorang Pejuang


Sabariah mengerut dahi setelah keluar dari bilik pengurusnya. Disumpah seranah di dalam hati hingga naik merah telinganya. Tiba di meja kayu berwarna kelabu, dihempasnya fail sekadar membebaskan haba dalam badannya yang naik secara mendadak.


Setelah melabuhkan punggungnya di kerusi empuk buatan China itu, fikirannya melayang ketika usianya diluangkan bersama sahabat-sahabatnya di menara gading. Terlalu akrab hubungan mereka di ketika itu sehingga setiap rahsia peribadi dan masalah seharian dikongsi tanpa jemu. Malah dia mula menjadi seorang gadis yang matang dalam membuat keputusan hidup apabila berjinak-jinak dengan program-program yang membantu masyarakat. Selama 3 tahun bersama sahabat-sahabat seangkatan dan masyarakat yang benar-benar kritikal, membuatkan dirinya semakin teliti dan bersungguh dalam menilai setiap perkara baru yang hadir dalam hidupnya.

“Shimah!”, teringat Sabariah kepada salah seorang adik kesayangannya di sana.
Nokia N90 dikeluarkan dari beg Bonia di atas mejanya lalu mengungkap khabar kepada Shimah.

“Shimah sihat je akak. Sekarang ni tengah sibuk sikit. Akak sihat?”, balas adik yang pernah dididiknya dahulu. Tidak menyangka di hati Sabariah adik kesayangannya itu masih lagi mengingatinya. Tak sia-sia tarbiyyah yang ditanam olehnya dalam diri Shimah ketika di universiti dahulu. Kemarahan Sabariah sebentar tadi semakin kurang setelah membaca mesej Shimah.

“Shimah study macam mana sekarang?”, perkara pertama yang ditanya oleh Sabariah kepada adiknya itu. Adiknya itu dikenali sejak pertama kali bersua dalam Program Membantu Ummah. Potensi Shimah dalam berkata-kata menarik minat Sabariah untuk mengambilnya menjadi anak usrah mingguan yang selalu dibuat di surau Kolej Tabah.

“Ok je akak. Cuma semester ni banyak la lab. Test pun saya tak dapat skor”, mesej Shimah berbaur kecewa. Dahulunya di matrikulasi Shimah pelajar yang sangat pintar. Sejak akhir-akhir ini keputusan peperiksaannya kurang memuaskan.

“Sabar adik. Ujian je tu. Allah nak uji adik ni dapat bahagi ke tak masa dengan berdakwah”, pujuk si kakak sambil matanya singgah ke jam Omega di pergelangan tangan kirinya. Takut-takut dia akan terlewat untuk balik ke rumah setelah habis waktu bekerja nanti. Dijelingnya gerak-geri pengurus di dalam bilik. Hatinya yang semakin sejuk tadi sedikit suam apabila melihat pengurusnya itu.

“Oh ya, macam mana dengan Kelab Pembantu Ummah kita? Ada program terbaru?”, perkara yang seterusnya ditanya oleh Sabariah kepada adiknya itu. Sudah lama Sabariah tidak turun ke universiti. Sudah terlalu lama juga dia tidak mendengar sebarang cerita dari kelab yang dicintainya dulu.

“Tak sempat la akak. Kalau buat pun tak ramai yang datang. Tak macam dulu dah”, mesej yang dibalas agak lambat sampai ke Sabariah. Hanya tangan kiri Shimah yang memicit punat handsetnya, tangan kanannya pula memegang erat jari-jemari Kamal sambil berjalan-jalan di Queensbay. Tersengih Shimah sambil handsetnya dimasukkan semula ke poket seluar jeans Levi’s.

“Siapa tu?”, tanya Kamal khuatir kalau-kalau cintanya mula dinodai orang lain. Dia tidak mahu kekasih keempatnya itu bermain kayu tiga seperti kekasihnya yang lain.

“Kakak mama masa first year dulu. Papa jangan risau, mama tak mesej dengan laki lain”, kepala Shimah sedikit senget dengan suaranya yang sedikit manja. Dia paham sikap Kamal yang agak cemburu dengan keayuan Shimah yang selalu diperkatakan di fakultinya.

“Ok lah akak, saya nak buat assignment ni. Mesej lain kali ye? Bye bye”, mesej terakhir dihantar Shimah kepada bekas naqibahnya itu. Hatinya agak tawar untuk melayan Sabariah kerana dia ingin meluangkan sepenuh masa bersama lelaki kesayangannya itu walaupun baru empat bulan berkenalan.

Di bilik Shimah, Dalila sedang sibuk membaca buku kimia hingga terlupa untuk makan tengah hari. Kertas A4 bersepah di atas mejanya. Rambutnya kusut masai dan agak berbau disebabkan dia belum lagi mandi. Malam itu Puan Zarina akan memberikan ujian untuk bab 1 hingga 3.

“Wei, cakap nak datang usrah? Kami tunggu lama dah ni”, mesej daripada Nurul memecah keheningan bilik Dalila. Sejak semalam handset Dalila tidak berbunyi. Malah solat Subuh pagi tadi tertinggal gara-gara keluar makan bersama rakan-rakannya semalam hingga jam 4 pagi.

“Aku tak datang kali ni. Tengah sibuk ni. Malam ni ada test”, balas Dalila sepantas mungkin. Sikap Dalila terhadap ilmu sedikit berubah. Dahulunya dia terlalu menghormati usrah dan sering kali ke kedai buku untuk membeli bahan bacaan berbentuk kefahaman Islam. Tetapi setelah keputusan peperiksaannya merosot pada semester lepas, dia mengambil langkah drastik untuk menumpu sepenuh perhatian kepada akademik. Sikapnya itu seolah-olah menyalahkan keterlibatan usrah dalam hidupnya yang menyebabkan akademiknya semakin turun.

“Akmal pun ada test gak malam ni. Tapi dia pun datang usrah ni”, timbul sedikit geram dalam hati Nurul dengan sikap bertangguh Dalila. Dalila sememangnya seorang yang suka menangguh kerjanya sehingga tidurnya tidak terjaga akibat menyiapkan assignment selewat jam 5 pagi.

“Malas aku. Kalau aku fail test malam ni, bukan dia nak tanggung pun”, detik hati Dalila selepas melemparkan handsetnya di atas katil. Jawatan Dalila yang agak tinggi dalam Kelab Pembantu Ummah menyebabkan dia mengambil sikap mudah atas mana-mana aktiviti kelab tersebut. Dia juga seringkali memberi alasan yang terlalu remeh jika nak dibandingkan dengan pengorbanannya selama ini.

“Dia tak jadi datang ke Nurul?”, tanya Akmal sedikit rendah suaranya. Gelengan kepala Nurul membuatkan Akmal sedikit kecewa. Kekecewaan itu timbul kerana Dalila adalah senior yang sangat dihormatinya. Dalila jugalah yang menjadi titik perubahan dalam diri Akmal untuk melibatkan diri secara serius dalam aktiviti-aktiviti yang membantu masyarakat. Keilmuan dan kematangan Dalila dalam membuat sebarang keputusan sangat mengujakan Akmal. Tetapi ketidakhadiran Dalila dalam usrah itu menukar persepsinya terhadap Dalila sedikit demi sedikit.

“Tak mengapalah. Kita buat sekejap saja, lepas tu kita balik”, sambung Akmal pantas. Dia mengambil kesempatan untuk menghabiskan usrah awal dari waktu yang sepatutnya. Hati Akmal sedikit gembira.

Beberapa minit berlalu, usrah mereka bersurai. Setelah bersalaman sesama mereka, Akmal segera menuju ke Dewan Tuanku Seri Paduka.

“Nasib baik usrah habis awal tadi, sempat aku nak tengok persembahan kumpulan Wahhan”, detik sudut kecil hati Akmal. Lirik matanya menjeling-jeling di sekitar, takut-takut ada sahabat-sahabat dari Kelab Pembantu Ummah. Dia khuatir akan dicop gila hiburan oleh sahabat-sahabat seangkatan.

“Akmal!”, sergah Nadia dari belakang.

“Alahai”, keluh Akmal dalam hati. Tak disangka akan bertemu juga sahabat dari Kelab Pembantu Ummah.

“Mesyuarat esok nak pergi tak? Penting tu”, Nadia mula membuka bicara.

“Esok aku ada hal”, elak Akmal memberi alasan.

“Hal apa?”, tanya Nadia berminat.

“Kena buat report”, Akmal menggaru kepalanya walaupun tidak gatal.

“Buat la malam ni. Kalau tak pergi esok takut kakak Sumarni marah pulak”, pujuk Nadia separuh bersungguh.

“Ala, malam ni aku nak tengok persembahan ni sekejap. Lagi pun report aku kena buat dengan partner yang tinggal dekat Kolej Rakyat. Esok baru aku nak buat”, keluh Akmal sedikit menyampah melayan pujukan Nadia. Alasan yang diberikannya juga agak bernas.

“Kau buat apa dekat sini?”, tanya Akmal kepada Nadia. Setahu Akmal, Nadia bukanlah orang yang sukakan hiburan seperti dirinya.

“Teman kawan. Aku dah janji dah nak teman dia”, jawab Nadia pantas. Takut-takut Akmal akan menganggap dirinya sukakan hiburan sebegitu.

“Oh. Ok”, jawab Akmal ringkas. Dia tidak mahu memanjangkan perbualan.

“Aku dah janji dengan kawan nak datang sini. Kalau tak tepati, berdosa”, sambung Nadia lagi tanpa ditanya oleh Akmal. Nadia juga risau Akmal akan sampaikan cerita tentang dirinya yang hadir ke acara seperti itu kepada pihak atasan Kelab Pembantu Ummah. Maklumlah, Nadia berpotensi untuk menjadi barisan pimpinan pada sidang depan.

Malam itu Sabariah tidur dengan perasaan yang kosong. Dia tidak pernah merasa begitu sepanjang hidupnya. Mukanya dilumur dengan SK II sebelum tidur bagi memberikan kesegaran wajah untuk bekerja pada keesokan harinya. Shimah pula berbual di handset sehingga Subuh. Belum puas rasanya keluar bersama Kamal siang tadi. Ingin sangat dia untuk bersama kekasihnya itu 24 jam sehari. Di bilik yang sama, Dalila menangis di dalam dakapan bantal akibat hampa dengan ujian kimia di Dewan Kuliah T. Dirinya dirasakan terlalu bodoh dan tidak berguna jika nak dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain. Mereka selalu mendapat markah tinggi dalam ujian. Selang beberapa bangunan, Akmal sibuk menyiapkan report yang akan dihantar pada esok harinya. Berdenyut-denyut dahinya untuk menghabiskan report tersebut. Partner Akmal sudahpun menyiapkan report pada hari itu juga dan lebih parah lagi Akmal tidak dapat meminjam report itu untuk ditiru. Dia tertidur di atas kerusinya akibat terlalu penat memerah otak. Di restoran nasi kandar pula kelibat Nadia kelihatan. Dia bersama beberapa lagi rakan-rakannya bersiar-siar di kawasan tersebut sehingga jam 4 pagi. Nadia sudahpun berjanji dengan mereka untuk berjalan-jalan pada malam itu.

Pagi esoknya hidup mereka ini sudahpun ‘mati’. Perjalanan hidup mereka tidak sampai ke penghujungnya. Jasad mereka masih lagi bernyawa, tetapi pemikiran serta jiwa mereka sudah pun dicabut oleh dunia.


[i-anwar]

29 November 2007

Perjuangan Kita Sudah Bermula



21 November 2007

Sederap Langkah Pemuda di Pulau Idealisma


Berakhir sudah program Simposium Bring Islam Back kali ke-2 di Kompleks An-Nahdhoh, Kubang Semang membawa satu sinar perubahan gerakan pemuda Islam di bumi pulau mutiara ini. Penyertaan daripada beberapa gerakan pemuda Islam memberi satu petanda yang sangat keras betapa seriusnya pemuda-pemudi Islam di sini melangkah ke hadapan dalam menuju pencerahan Islam di Penang khususnya.


Dengan tertutupnya tirai simposium kali ke-2 ini menunjukkan bermulanya gerak-gempur gerakan pemuda Islam di sini dalam menongkah arus permasalahan umat dalam mencapai khayra ummah (sebaik-baik umat).


Program selama 3 hari ini yang bermula pada petang Jumaat (16 November 2007) dan berakhir pada petang Ahad (18 November 2007) adalah hasil daripada resolusi Simposium Bring Islam Back kali pertama pada bulan Mei yang lalu.


Penyertaan pada kali ini sangat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 50 peserta daripada pelbagai gerakan pemuda Islam sama ada yang masih menuntut di IPT mahupun yang telah bekerja.


Perjalanan program berjalan lancar dengan respon yang sangat positif daripada pelbagai pihak. Perbincangan yang matang dan serius terutama dalam membuat resolusi simposium pada kali ini memberi satu kesimpulan yang cukup bersejarah dalam gerakan pemuda Islam di Penang – tertubuhnya Sekretariat Bring Islam Back yang menjadi badan gabungan gerakan pemuda Islam dalam memperjuangkan syariat Islam di Penang khususnya dan di Malaysia umumnya.




Ujian hebat bermula


Hujan lebat pada hari pertama simposium menguji niat penggerak-penggerak jemaah apabila pendaftaran menjadi kelam-kabut akibat kelewatan peserta. Malah program ini juga bertindihan dengan berbagai program anjuran jemaah lain memaksa sebahagian daripada peserta tidak dapat menghadiri simposium ini dengan sepenuhnya.


Namun atas kesedaran yang tinggi terhadap keperluan bertindak secara serius gerakan pemuda Islam di Penang menjadi motivasi yang positif bagi setiap diri penggerak-penggerak jemaah. Kekuatan kurniaan-Nya direncah dengan ikatan ukhwah sesama penggerak menghasilkan gerak kerja yang sungguh lazat dan menimbulkan aroma mencelik masyarakat yang amat menyelerakan.


Slot pertama dimulakan dengan pengisian daripada Ustaz Khairul Anwar Haji Musa (Pengerusi Tetap JIM SPT, mantan Timbalan YDP JIM Penang) dengan tajuk ‘Gerakan Da’wah yang Syumul’. Dalam slot ini penceramah mengupas isi dengan baik dalam menjelaskan peranan pemuda dalam perubahan masyarakat secara keseluruhan. Sejarah juga mencatat beberapa kisah para pemuda dalam era pencerahan gerakan Islam seperti Hasan Al-Banna dan Abul ‘Ala Al-Maududi. Penceramah menyampaian slot secara santai dan berjaya mengaitkan isi ceramah dengan realiti dunia Islam masa kini terutama di Malaysia.




Isu-isu utama masyarakat


Pendedahan isu-isu semasa oleh saudara Nizam Mahshar (koordinator Sahabat Alam Malaysia) dalam slot seterusnya membuka mata semua peserta dalam meratah realiti permasalahan masyarakat di Malaysia. Enam skop isu yang dijelaskan menjadi isu prioriti dan asas bergerak kerja dalam membawa perubahan masyarakat. Liberalisma, neo-liberalisma, wahanisma, korupsi politik, marhaen dan mustadz’afin, dan perpaduan nasional menjadi kupasan utama dalam menjamu para peserta simposium mengenali isu-isu besar yang melingkari dan menjerut masyarakat.


Pendedahan liberalisma, sekularisma, dan westernisasi di Malaysia yang didokongi oleh Sisters In Islam dan beberapa badan lain memberi satu pengalaman baru kepada para peserta dalam isu-isu berkaitan. Pendedahan tentang pluralisma agama dan isu bersahur dalam gereja di Universiti Malaya yang ditaja oleh Positive Movement mengejutkan kebanyakan peserta. Malah ramai pemuda Islam yang masih belum mengetahui walaupun isu ini sudah disiarkan di dalam akhbar The Star. Ini menunjukkan kurangnya kepekaan umat Islam sendiri terhadap perkembangan semasa terutama bagi pihak pemuda penggerak jemaah itu sendiri.


Isu neo-liberalisma yang merangkumi kapitalisma global, penswastaan pemilikan awam dan sumber alam, industrilisasi, konsumerisma, GATT, WTO, USFTA, dan sebagainya memberi satu pengenalan baru dalam pemikiran peserta akan ancaman-ancaman utama kepada umat Islam di Malaysia. Serangan pihak barat dari sudut ekonomi sangat jarang dipandang oleh kebanyakan jemaah akibat sistem tarbiyyah jemaah masing-masing yang lebih memandang soal-soal yang berkaitan secara langsung dengan Islam. Maka, isu neo-liberalisma ini menjadi isu yang kritikal kerana kurangnya pemuda yang arif dalam membahas dan merungkai permasalahan isu ini di barisan pertama perjuangan.


Budaya ‘cintakan dunia dan takutkan mati’ (wahanisma) memberi satu pandangan yang lebih segar terhadap isu hedonisma, gilakan pangkat, gilakan harta, dan gilakan populariti. Kupasan daripada hadith riwayat Abu Daud menyimpulkan kepada umat Islam khususnya bahawa penyakit al-wahan ini akan menjadi satu barah yang sangat kronik bilamana musuh-musuh Islam dengan mudah sekali mematahkan kekuatan umat Islam yang dijangkiti virus al-wahan.


Isu-isu lain berkaitan korupsi politik melibatkan politik demokrasi kepartian, politik wang, korupsi, kolusi, nepotisma, ketelusan, hak rakyat, ISA, OSA, percetakan, akta polis, kolonialisma, polisi neo-liberal, penindasan rakyat bawahan dan berbagai lagi isu berkaitan disentuh secara umum oleh penceramah. Mungkin isu ini agak sensitif bagi sesetengah jemaah yang hadir namun perkembangan politik juga harus dijadikan satu penilaian secara telus oleh setiap pemuda Islam dalam meneliti realiti faktor utama yang melingkari permasalahan umat Islam di Malaysia dari segi perlaksanaan undang-undang yang sedia ada.


Istilah masyarakat marhaen (tertindas) yang mengenengahkan isu OKU, buruh kasar, kesatuan sekerja, nelayan, petani, pekerja ladang, juga disentuh dalam slot ini. Pendedahan konflik rakyat dalam pembangunan logistik seperti projek Bakun, PTP2, ZIPY, NCER, ECER, WPI, PGCC, dan projek-projek mega yang lain yang dijalankan atas nama pembangunan seharusnya dipandang secara telus dan holistik. Penindasan golongan marhaen ini mestilah menjadi salah satu skop utama gerakan pemuda Islam dalam membela nasib masyarakat atas nama keadilan sosial.


Cabaran perpaduan nasional juga jarang dikupas oleh mana-mana jemaah pemuda secara serius untuk sama-sama dinilai dan diletakkan batu aras kemampuan penggerak-penggerak Islam meletakkan Islam sebagai faktor penyatuan pelbagai bangsa di negara ini. Tragedi Kampung Rawa dan Kampung Medan, kontroversi lagu Negarakuku, lambakan blog-blog yang menyentuh isu pergaduhan antara kaum menjadikan agenda pernyatuan bangsa di Malaysia semakin sukar. Perbincangan yang matang sesama kaum dalam isu polisi dan bahasa, politik perkauman, dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seharusnya dijadikan titik pertemuan dalam membentuk suasana kepelbagaian kaum yang harmoni di Malaysia.


Sebahagian besar peserta simposium memberi maklum balas yang sangat positif terhadap isu-isu yang diketengahkan. Sebelum ini kebanyakan program dan perjumpaan mereka hanya berkisar tentang permasalahan dalaman jemaah semata-mata. Pendedahan isu-isu sebegini mencelikkan jiwa dan minda mereka dalam melihat realiti masyarakat di sekeliling.




Forum memperkasa gerakan pemuda


Pada hari Sabtu jam 9.00 malam telah diadakan Forum Perdana bertajuk ’Pemerkasaan Gerakan Pemuda’ yang dijayakan oleh Ustaz Roshidi Husein (panel pertama, ahli Dewan Ulama’ PAS), Ustaz Hafiz Mustafa Lubis (panel kedua, YDP ABIM Kedah), Dr Aidi Ahmad Dewa (moderator, Timbalan YDP JIM Timur Laut, AJK JIM Penang).


Pembahasan soalan-soalan yang disampaikan oleh moderator memudahkan kefahaman para peserta untuk menghadam maksud yang ingin disampaikan. Pertanyaan daripada peserta juga mewujudkan suasana yang sihat dalam membincangkan isi-isi yang agak berat bagi kebanyakan peserta yang pertama kali menyertai program seumpama ini.


Antara rumusan daripada forum tersebut adalah 3 cabaran utama gerakan pemuda iaitu akidah (lambakan ajaran sesat di Malaysia), pemikiran (liberalisma, pluralisma), dan budaya (pengambilan makanan, keseronokan hiburan, etika berpakaian).


Malah fikrah, ilmu, dan semangat para penggerak jemaah juga harus berjalan serentak bagi memantapkan gerak kerja bersama dalam memperjuangkan isu-isu yang mencarik nasib masyarakat.




Kenali jemaah pemuda Penang


Simposium diteruskan dengan pembentangan pengenalan tentang jemaah masing-masing oleh wakil-wakil yang terlibat. Pembentangan ini sedikit sebanyak memberi satu gambaran kasar mengenai matlamat, gerak kerja, struktur organisasi, serta program-program yang dijalankan oleh setiap jemaah.


Sesi ini juga menjadi platform kepada para peserta mengenali gerakan-gerakan pemuda Islam yang hadir di simposium tersebut seterusnya mencetuskan pembentukan jaringan kerjasama dalam menjayakan agenda perubahan masyarakat di Penang khususnya.



Soal jawab antara jemaah yang ditimbulkan oleh para peserta membentuk satu kepercayaan dan ikatan hati yang lebih kukuh dalam membina jaringan kerjasama ini. Pendekatan sebegini dapat dijadikan satu titik pertemuan untuk merealisasikan penyampaian rupa Islam yang sebenar kepada golongan massa.




Masa untuk bertindak!


Slot pelan tindakan meminta setiap jemaah yang hadir berkongsi idea dalam merancang tindakan yang bakal dilakukan setelah simposium ini tamat. Semua jemaah membuahkan pemikiran yang sangat matang dan kesemua idea yang dicurahkan itu sangat mengujakan kerana semua jemaah mengenengahkan idea yang sama – penubuhan satu badan gerak kerja gabungan pemuda Islam di Penang.


Namun apabila pelan tindakan ini dibawa ke resolusi, para peserta mula melambakkan idea-idea pengukuhan badan gabungan ini secara rawak menjadikan suasana sedikit tegang. Setelah sekretariat simposium ini memberi penjelasan yang kukuh, para peserta dengan sebulat suara menyerahkan penubuhan Sekretariat Bring Islam Back kepada sekretariat simposium.




Seriusnya pemuda Islam Penang


Resolusi simposium ini memberi makna yang sangat besar kepada saya apabila setiap peserta yang hadir berkobar-kobar menjulang semangat masing-masing dalam menuju agenda perubahan gerakan pemuda Islam di Penang.


Idea-idea yang disumbangkan secara serius membuktikan betapa komitednya penggerak-penggerah jemaah di Penang untuk bergabung tenaga dan idealisma melaungkan suara pemuda-pemudi Islam yang kini semakin tenggelam dibawa arus masa.


Setelah tertubuhnya Sekretariat Bring Islam Back nanti diharapkan gerakan-gerakan pemuda Islam di Penang menjadi lebih kuat dan kencang menongkah arus permasalahan umat Islam dalam menuju perubahan mentaliti dan penghayatan masyarakat terhadap erti Islam yang sebenar.


Saya juga sangat berharap Simposium Bring Islam Back kali ke-3 nanti dapat dihadiri oleh semua jemaah-jemaah di Penang dan mencatatkan satu lagi sejarah gerakan pemuda Islam di Tanah Melayu membentuk susur galur perubahan masyarakat dari akar umbi.




Sahut cabaran sahabatku!


Di sini saya dengan beraninya mencabar semua pemuda-pemudi Islam di segenap pelusuk negeri di Malaysia untuk sama-sama menjadi pembela nasib umat dan menjadi agen perubah masyarakat yang kini kian lesu serta layu dimamah anai-anai zaman.


Kami di Penang sudah bermula untuk sama-sama bergabung dalam menggerakkan jemaah-jemaah juruperubah masyarakat. Anda bila lagi? Berani sahut?




i-anwar

[moga Allah mengekal diriku di jalan ini]

1650 21november2007

CAP

10 November 2007

Bengkel Latihan Intensif Belia Peringkat Kebangsaan 2007

Bengkel Latihan Intensif Belia Peringkat Kebangsaan 2007

Tarikh : 22 – 28hb November 2007 / 12 – 12 Zulkaedah 1428

Tempat : Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Anjuran : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Dengan kerjasama : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)


Objektif:

Membentuk sekumpulan aktivis belia yang mempunyai keupayaan untuk bergerak sebagai agen perubah masyarakat


Peserta:

Terbuka kepada semua. 80 peserta terawal sahaja (pelajar universiti, belia kampung, belia bandar)

Penyertaan adalah percuma!




Sdr./ sdri. dapat memaklumkan kepada pihak urusetia berserta NAMA PENUH, ALAMAT, NOMBOR TELEFON, E-MAIL, PEKERJAAN selewat-lewatnya 19 November 2007 kepada Mohd Shah Rizan Sazali (016 – 473 1816, shahugi01@yahoo.com) atau Mohd Ridzuan Yusof (012 – 967 5690, who_83@yahoo.com)